Salam
Rasa sudah lama tidak menulis. Walau sesibuk mana, mood untuk menulis itu yang paling penting. Penulis sedaya upaya cuba untuk meluangkan masa sekiranya idea itu hadir secara tiba-tiba. Topik apa yang menarik untuk dikongsi bersama dan sebaiknya memberi manfaat kepada semua.
Penulis memang cintakan bidang penulisan. Taraf amatur dalam liga dunia penulis sendiri. Jauh sekali untuk bersaing dengan mereka yang di luar sana. Jika diselak kembali kisah yang ada dalam entri yang dahulu, pasti ada perubahan seiring dengan kematangan bahasa dan kisah apa yang ingin dipaparkan. Mencerminkan siapa kita.
Ianya ingatan buat kita juga. Masa terluang penulis mungkin lebih banyak mencari ilham melalui pembacaan atau pemerhatian. Terlalu banyak yang ingin diceritakan. Tapi tidak segalanya sesuai untuk diluahkan kepada umum. Fikir secara mendalam dan niat perlu diperbetulkan agar tidak terjentik hati sesiapa. Formulanya adalah meletakkan situasi yang sama pada pihak lain. Mudah bukan.
Ketenangan dan kebahagiaan inshaAllah akan diperolehi sekiranya kita sendiri memberikan perkara yang sama kepada orang lain. Jika niat seseorang baik pada kita, terima dengan syukur. Tanda hubungan kita sesama manusia juga terjaga sekaligus hubungan kita dengan pencipta juga begitu.
Jaga hubungan dengan Allah dan jaga hubungan dengan manusia ini menjadi kepentingan kepada kita semua kerana di dalam Al-Quran, Allah ada menyebut di dalam surah Ali I'mran ayat 112 yang bermaksud : mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) manusia. Dalam kita tidak sedar ada di kalangan kita secara sengaja atau tidak telah melukakan hati sahabat-sahabat kita yang lain.
Bersangka baiklah. Kita bukan pentafsir atau peramal terbaik. Mohon kita diperkenankan doa supaya dilembutkan hati sentiasa. Sifat positif kita akan mempengaruhi cara hidup kita. Yang sukar menjadi mudah. Dunia ini untuk berpenat dan akhirat untuk kita berehat. Maka janganlah cepat mengeluh dan setiap kebajikan yang dilakukan inshaAllah ada ganjarannya.
Jika kita mempunyai pengaruh yang kuat, apa salahnya menggunakan kelebihan yang ada untuk menarik orang lain ke arah kebaikan. Bicara bila perlu dan kejarlah ilmu sebanyak mana yang boleh. Perolehan ilmu bukan sahaja melalui pembacaan. Kerana ia perlu dirasai sendiri oleh manusia yang mengalaminya. Istilah yang paling tepat dalam konteks ini ialah pengalaman. Maka sebab itulah penulis suka mengembara.
[Credit to http://khairulnaimsblog.blogspot.com] Buku boleh memberitahu sebagai contoh aspek-aspek sosial di sesuatu tempat. Namun ia tidak dapat dirasai oleh si pembaca sehingga dia pergi sendiri ke tempat tersebut. Dalam Islam, tasawuf amat mementingkan pengalaman manusiawi. Oleh itu ramai ulama’ membahaskan perbezaan pencapaian dan pemahaman konsep tauhid di kalangan ahli sufi dan mutakallimin.
Bagi kalangan sufi, persoalan tauhid adalah suatu daerah pengalaman yang berada jauh di luar upaya akal dan imaginasi manusia untuk memahaminya. Mereka tidak menggunakan akal tetapi qalb dalam perjalanan dalaman mereka. Pendirian ini mungkin berbeza dengan kelompok yang tidak setuju dengan konsep ini. Kenapa saya memetik persoalan ini? Tidak lain sekadar untuk memberitahu kepada yang belum tahu bahawa jalan untuk kita mengambil ilmu adalah banyak.
Antaranya melalui pengumpulan pengalaman yang tidak terdapat dalam buku. Jika ada sekalipun itu bukan pengalaman kita sendiri tetapi pengalaman si pengarang yang dibukukan. Dan sudah tentu usaha ini boleh diperoleh melalui pengembaraan. Jadi berjalanlah di muka bumi Allah SWT ini, mengumpul ilmu dan mencerahkan minda. “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang Yang mendustakan (Rasul-rasul) itu." [al-An’am: 11].
Wallahualam...
p/s : Some people criticise constructively whilst others do so out of hatred, ignorance or jealousy. Ignore the latter - Mufti Ismail Menk
.
.


